Tuesday, July 31, 2012

KHASIAT BUAH KURMA

SABDA RASULULLAH S.A.W :

" Berilah makan kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya ".

Mengamalkan memakan kurma ketika mengandung adalah amat baik sekali kerana ini akan memudahkan ketika melahirkan nanti.  Semasa bayi dilahirkan, buah kurma juga dicalitkan sedikit di lelangit bayi.

Buah kurma tidak mengandungi gula yang membahayakan malah ia merupakan makanan Rasulullah S.A.W.





PENGLIBATAN IBU BAPA - INISIATIF


INISIATIF

Definisi Inisiatif
Perkataan inisiatif bermakna bercita-cita dan bersemangat. Ini menunjukkan kanak-kanak mempunyai tujuan untuk hidup. Kanak-kanak tidak sabar melakukan tugasan baru, menyertai aktiviti bersama rakan sebaya dan menjumpai apa mereka boleh lakukan dengan pertolongan orang dewasa.

Perkembangan Konflik

Kanak-kanak selalu berada dalam suasana konflik. Contohnya berebut barang mainan dan tidak mahu berkongsi dengan kawan. Suasana begini selalu berlaku di prasekolah. Keadaan ini melahirkan konflik di kalangan kanak-kanak. Apabila konflik berlaku guru perlu mengelakkan diri daripada terburu-buru membuat keputusan dan menghukum dengan menjelaskan siapa yang salah dan siapa yang benar atau menyalahkan sesiapa. Guru hanya perlu mendengar keterangan yang mereka berikan. Mereka yang menyelesaikan konflik dengan cara yang terbaik untuk menangani situasi konflik tersebut.



Panduan guru dalam menghadapi konflik adalah seperti berikut:
(a) Mendengar kanak-kanak bercerita
(b) Berterima kasih kerana memberitahu apa yang berlaku
(c) Jangan menyalahkan kanak-kanak
(d) Bertanyakan perasaan kanak-kanak sekiranya sesuatu perkara itu berlaku pada dirinya sendiri
(e) Bertanyakan kepada kanak-kanak perkara yang patut dibuat supaya kawannya rasa seronok.
(f) Ikut apa yang telah dipersetujui untuk menamatkan konflik.

Kanak-kanak akan belajar cara menghormati hak orang lain dan menjaga maruah orang lain. Guru hendaklah memberi peluang kanak-kanak menguruskan konflik dengan cara yang terbaik. Di samping itu guru hendaklah menolong kanak-kanak mengurangkan konflik dan membina kemahiran persahabatan. Berikut adalah cara-cara membina persahabatan:

(a) Mengajak kawan-kawan bermain bersama
(b) Berkongsi alat permaian dan barang-barang
(c) Berbual-bual
(c) Menawarkan pertolongan
(d) Bertukar alat mainan
(e) Mendengar kawan membaca buku cerita
(f) Membuat apa yang dibuat oleh kawan

Peranan Persekitaran

Keluarga memainkan peranan penting dalam masyarakat. Setiap masyarakat mengawal tingkah laku seksual ahli-ahlinya. Di antara fungsi keluarga dalam masyarakat adalah seperti berikut:
(a) kawalan tingkah laku seksual
(b) mensosialisasikan anak
(c) memberi sokongan emosi
(d) mengenakan kawalan sosial
(e) memberi jagaan terhadap anak
(f) memberi kerjasama ekonomi
Anak-anak bergantung sepenuhnya kepada kedua ibu bapa mereka untuk mendapatkan makanan, minuman, perlindungan dan kasih sayang. Mereka mudah dipengaruhi. Peranan keluarga adalah menyalurkan budaya, seperti nilai, norma, kepercayaan, sikap dan juga bahasa. Memang ada agen sosialisasi lain seperti rakan sebaya, sekolah, media massa. Walau bagaimanapun keluarga adalah agen sosialisasi yang pertama dan paling berpengaruh dalam pembentukan tingkah laku kanak-kanak.

Aplikasi Inisiatif Kanak-kanak

Kanak-kanak mengaplikasi inisiatif dengan sokongan emosi daripada orang-orang di persekitarannya seperti ibu bapa, adik beradik dan rakan sebaya. Contohnya kanak-kanak menunjukkan inisiatif melalui aktiviti bermain. Semasa bermain mereka mencuba kemahiran baru menerusi kegagalan, teguran dan bimbingan orang di persekitarannya. Kanak-kanak bukan sahaja memerlukan persahabatan, sangkutan tetapi juga kasih sayang bagi perkembangan yang normal.





PENGLIBATAN IBU BAPA - AUTONOMI

AUTONOMI

Definisi Autonomi

Mengikut Teori Erikson, tahap perkembangan manusia bermula pada umur 18 bulan hingga 3 tahun. Perkembangan pada peringkat ini adalah berdasarkan konflik yang wujud dalam diri kanak-kanak iaitu autonomi lawan rasa malu atau sangsi. Pada peringkat ini kanak-kanak perlahan-lahan mula memahami bahawa mereka boleh mengawal tindakannya.Ini bermakna kanak-kanak sudah mempunyai autonomi ke atas diri mereka. Menerusi kefahaman ini, dapat autonomi bermaksud kanak-kanak pada peringkat usia 18 bulan hingga 3 tahun berusaha menunjukkan autonomi untuk berdikari daripada orang dewasa atau orang lain yang sebaya dengannya. Walau bagaimanapun semasa kanak-kanak hendak mendapatkan autonomi, mereka mengalami perasaan sangsi sama ada boleh menangani situasi. Mereka rasa malu jika gagal menangani sesuatu tindakan. Campuran autonomi, malu dan sangsi memberikan satu kekuatan kepada kanak-kanak bahawa mereka boleh bertindak ke atas dunia dengan kekuatan sendiri.

Menangani Isu Pengawalan

Konsep pengawalan adalah sistem kawalan yang digunakan oleh ibu bapa dalam mengawal tingkah laku anak. Selalunya ibu bapa menggunakan perkataan Âjangan...jangan...Ê Ibu bapa kurang memberi alasan kenapa tidak boleh melakukan sesuatu tindakan secara rasional. Alasan yang diberi lebih kepada ugutan dan menakut-nakutkan kanak-kanak. Ini menyebabkan kanak-kanak kurang yakin kepada diri sendiri dan bergantung kepada orang lain dan kurang berdikari. Ini bermakna kanak-kanak tidak mencapai autonomi. Isu pengawalan adalah permulaan modifikasi tingkah laku terhadap kanak-kanak.

Bandura (1988) berpendapat kanak-kanak suka meniru perbuatan yang dilakukan oleh orang dewasa. Kanak-kanak akan membuat pemerhatian yang berulang-ulang dan memperoleh maklumat sama ada perbuatan yang ditiru mendapat sambutan atau teguran dan tegahan daripada orang dewasa.

Contohnya perbuatan bersalaman akan menimbulkan keserasian dan membentuk tabiat kepadanya, maka kanak-kanak akan bersalaman apabila diminta berbuat demikian berbanding dengan kanak-kanak yang kurang selesa untuk bersalaman.


Menangani Pengekalan

Dalam mengekalkan tingkah laku positif dan autonomi, beberapa langkah boleh diambil oleh orang dewasa dalam membantu kanak-kanak mengekalkan autonomi terhadap diri mereka.
(a) Terdapat ibu bapa yang memberi hadiah dan ganjaran yang setimpal dengan tingkah laku anak dan ini adalah perbuatan yang menggalakkan. Ini dapat menolong mereka mengekalkan tingkah laku positif. Konsep kendiri banyak mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak ke arah penyesuaian diri. Ini termasuk penghargaan kendiri, penerimaan dan penolakan diri. Jika sesaorang kanak-kanak merasai kurang penerimaan daripada orang yang berinteraksi dengannya, maka dia akan mengalami perasaan penolakan diri. Perasaan ini akan membawa kesan negatif dalam usahanya mengatasi masalah hidup yang dihadapinya.

(b) Kanak-kanak yang dapat mengekalkan penghargaan kendiri yang tinggi mempunyai sikap yang positif, sanggup berusaha hingga dapat menyempurnakan tugasannya, dapat menyerlahkan bakat dan kebolehannya. Kanak-kanak yang mempunyai konsep kendiri yang sederhana, mempunyai rasa curiga dan ragu-ragu dalam mengambil keputusan yang tepat. Manakala kanak-kanak yang mempunyai konsep kendiri yang rendah biasanya bersikap rendah diri, curiga, tidak mampu membuat keputusan, tidak dapat berinteraksi dengan berkesan, dan sering melepaskan diri dari bersikap kurang yakin kepada kebolehan diri sendiri. Kanak-kanak yang memberi banyak alasan untuk menolak tugasan telah mempamerkan tindakan atau taktik yang menunjukkan mereka mempunyai konsep kendiri yang rendah dan banyak alasan.

(c) Dalam pengekalan tingkah laku yang positif guru perlu memberi perhatian yang sewajarnya seperti dorongan dan sokongan dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak. Terdapat banyak aktiviti yang boleh mengekalkan tingkah laku positif. Perkara yang utama perlu dilakukan oleh guru ialah memberi pengalaman kepada dan menikmati pengalaman kejayaan bersama kepada kanak-kanak. Guru memberi peluang kepada kanak-kanak menjadi pemimpin atau mengambil bahagian dalam aktiviti seperti main peranan, simulasi, permainan dalam kumpulan dan sebagainya.

(d) Semua kanak-kanak perlu merasa bangga terhadap diri mereka dan keluarganya. Mereka perlu merasai dirinya dihargai dan merasa berkebolehan dan dapat mencapai sesuatu. Mereka perlu merasa selamat dan yakin kepada diri sendiri.







PENGLIBATAN IBU BAPA - SANGKUTAN


SANGKUTAN


Definisi Sangkutan

(a) Lorenz melalui pemerhatiannya mengkaji ke atas corak tingkah laku sekumpulan anak angsa. Beliau merumuskan bahawa kita tidak akan memahami kanak-kanak kalau kita tidak memerhatikan tingkah lakunya dalam persekitaran semula jadi mereka.

(b) John Bowlby telah meneruskan kajian Lorenz. Beliau menyatakan bahawa kanak-kanak kecil membentuk sangkutan dan perapatan emosi yang intim kepada ibu bapa atau orang dewasa yang menggantikan ibu bapa sebenar.
Bowlby mendefinisikan tingkah laku sangkutan sebagai apa jua tingkah laku yang menolong merapatkan hubungan bayi dengan individu sangkutan tersebut. Sangkutan juga boleh dimaksudkan sebagai hubungan rapat dan mesra yang mewujudkan kasih sayang yang kuat dan mengikat seseorang dengan yang lain.

(c) Hubungan sangkutan yang kuat dan tinggi semasa kecil akan memberi kesan sepanjang kehidupan individu berbanding dengan hubungan sangkutan yang lemah. Kesannya adalah seperti berikut:
(i) Mempunyai harga diri yang tinggi
(ii) Merasa lebih diterima oleh keluarga
(iii) Merasa lebih diterima oleh rakan sebaya
(iv) Merasa lebih diterima oleh masyarakat

Contohnya seorang anak yang terlalu rapat dengan ibunya akan mengalami kesukaran berpisah dengan ibu terutama apabila ingin dihantar ke TADIKA. 

Karenah dan Sangkutan
Sangkutan melibatkan hubungan anak dengan ibu bapa, ahli keluarga ,adik beradik dan datuk nenek. Kanak-kanak yang terikat dengan sangkutan ibu bapa yang kuat mengalami kesukaran untuk berjauhan buat beberapa ketika. Mereka yang kuat sangkutan akan mengalami gangguan emosi tingkah laku berkerenah. Contohnya anak yang dipelihara oleh datuk dan nenek sejak kecil kemudian diambil oleh ibu bapanya akan mengalami tekanan emosi. Untuk mengatasi masalah ini, pertemuan yang kerap akan mengurangkan kesunyian yang dialami oleh kedua pihak.

Peristiwa yang lain seperti masalah rumah tangga, perpisahan di kalangan ibu bapa, kematian, tinggal berjauhan adalah gangguan yang sering terjadi dan menimbulkan masalah dalam sangkutan. Sangkutan yang melampau menyebabkan kanak-kanak suka merajuk, memencilkan diri atau mengheret ibunya menemaninya ke sekolah. Ini meyebabkan sesetengah ibu bapa terpaksa berhenti kerja demi menemankan anak-anak di sekolah.

Ciri-ciri Pembentukan Sangkutan
Pembentukan sangkutan adalah berpunca daripada pelbagai pihak. Sangkutan mengikut keperluan masing-masing. Sangkutan sangat penting untuk membina tingkah laku yang diingini. Pembentukan sangkutan kanak-kanak perlu perhatian, tetapi perhatian berlebihan akan mendatangkan kesan buruk iaitu kanak-kanak tidak dapat berdikari dan menyusahkan orang lain.
Antara pembentukan sangkutan yang positif adalah seperti berikut:

(a) Kanak-kanak perlu diberitahu tentang peranannya sebagai anak dan apakah yang patut dilakukan. Contohnya tentang menguruskan diri dan menjaga kebersihan. Kanak-kanak perlu makan sendiri kalau sudah boleh berbuat demikian. Kanak-kanak hendaklah menepati waktu pergi sekolah dan balik ke rumah apabila selesai hari persekolahan.

(b) Latihan modifikasi tingkah laku boleh menolong kanak-kanak mengurangkan sangkutan yang keterlaluan agar kanak-kanak dapat menyesuaikan diri di kalangan rakan-rakan sebaya di TADIKA atau di persekitaran

(a) Ciri-ciri pembentukan sangkutan

(i) Ibu kepada bayi yang membentuk sangkutan yang selamat akan lebih responsif kepada keperluan bayi semasa 3 bulan pertama. Contohnya: Ibu dengan cepat memujuk bayi apabila bayi menangis, memberi makan kepada bayi bila menjangkakan bayi itu lapar.
(ii) Ibu bersikap konsisten dalam bertindak balas kepada keperluan bayi.
(iii) Ibu bapa biasanya akan menyesuaikan tingkah laku mereka dengan mengambil kira reaksi dan kerenah bayi.
(iv) Sangkutan yang tidak selamat timbul apabila ibu gagal menyediakan keprihatinan yang sensitif dan responsif terhadap keperluan dan harapan bayi.

Bolwlby berpendapat bahawa semua bayi telah bersedia secara biologi untuk membentuk sangkutan yang selamat dengan ibu yang sensitif dan responsif kepada keperluan mereka.
(b) Prinsip-prinsip Pembentukan Sangkutan
Teori Etologi sangkutan oleh Bowlby menggariskan prinsip-prinsip sangkutan seperti berikut:
(i) Tingkah laku sangkutan di kalangan bayi adalah merupakan tingkah laku yang berdasarkan kepada tingkah laku naluri dan evolusi manusia yang telah diprogramkan secara semula jadi.
(ii) Sangkutan di kalangan manusia tidak hanya bergantung kepada keperluan bayi untuk makan atau menyusu semata-mata.
(iii) Bayi membentuk sangkutan dengan orang-orang yang berinteraksi dengan mereka secara kerap. 
(iv) Di kalangan manusia kehidupan tahun pertama adalah masa yang paling kritikal dalam pemebentukan sangkutan.
(v) Bayi akan lebih membentuk tingkah laku sangkutan terhadap seorang manusia iaitu ibu, kerana ibu lebih berpengaruh.
(vi) Semasa tiga tahun pertama seorang bayi sangkutan membina hubungan dua hala antara ibu dengan anak.
(vii) Apabila anak membentuk sangkutan dengan ibu beliau akan membentuk model bekerja dalaman mengikut ibu mereka.
(viii) Sangkutan anak-anak dengan ibu berbeza dari segi keselamatan Bayi membentuk sangkutan yang selamat sekiranya ibu bertindak balas kepada keperluan mereka.
(ix) Sangkutan yang selamat membentuk kesan yang positif terhadap perkembangan hidup bayi.