Saturday, October 1, 2011

PRINSIP PENAKSIRAN DAN PENILAIAN

Menurut James H. McMillan (2000), menyatakan terdapat tiga prinsip utama dalam pentaksiran dan penilaian perkembangan kanak-kanak. Prinsip yang pertama adalah maklumat tentang sesuatu pentaksiran dan penilaian itu haruslah jelas, boleh dipercayai dan boleh dicapai dengan telus.  Prinsip yang kedua pula adalah pentaksiran dan penilaian seharusnya  boleh dipercayai dan konsisten.  Prinsip yang terakhir pula adalah penilaian haruslah inklusif dan adil.

Surayah Zaidon dan Haslinda Md. Ali (2009) pula menyatakan ada enam prinsip penilaian perkembangan kanak-kanak.  Prinsip yang pertama ialah dijalankan secara berterusan, sesuai dan dapat membantu perkembangan kanak-kanak.  Hal ini amat bersesuaian dengan sifat perkembangan kanak-kanak iaitu perkembangan kanak-kanak merupakan satu proses yang berterusan.  Oleh itu, guru prasekolah perlulah menjalankan pentaksiran dan penilaian lebih daripada dua kali supaya maklumat yang diperolehi itu jelas, boleh dipercayai dan telus.

Prinsip kedua ialah pentaksiran dan penilaian hendaklah mempunyai perancangan, strategi dan instrumen penilaian yang berbeza-beza sesuai dengan setiap tujuan penilaian dan hasil pembelajaran.  Prinsip ini adalah bertepatan dengan proses menjalankan pentaksiran dan penilaian iaitu langkah pertama adalah proses merancang, langkah kedua adalah pentaksiran dan langkah yang ketiga ialah merekod hasil dapatan pemerhatian atau maklumat ke dalam instrumen pentaksiran yang bersesuaian dengan aspek perkembangan yang hendak diperhatikan.  Misalnya, senarai semak digunakan untuk menilai perkembangan dari segi pengetahuan, kemahiran, sikap dan kebolehan.  Selain itu, senarai semak mudah dan praktikal untuk dikendalikan serta boleh memasukkan banyak kemahiran-kemahiran lain secara serentak.  Manakala rekod anekdot pula untuk merekod peristiwa atau tingkah laku murid yang dianggap penting, unik dan signifikan. 

Prinsip yang ketiga pula adalah ia perlulah mempunyai kriteria-kriteria penilaian perkembangan yang sesuai dengan objektif pembelajaran (kurikulum).  Penilaian yang hendak dilaksanakan perlulah mengambil kira standard pembelajaran yang terdapat di dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.  Prinsip yang seterusnya adalah ianya harus memberikan manfaat dan bermakna dalam pengalaman harian kanak-kanak.

Seterusnya, pentaksiran dan penilaian juga hendaklah dilaksanakan secara tidak formal, iaitu semasa kanak-kanak mengalami proses pembelajaran supaya hasil yang dikehendaki adalah bersifat autentik dan tidak mempunyai sandiwara.  Prinsip yang terakhir ialah dilaksanakan melalui pemerhatian dan dokumentasi.  Pekara ini dilakukan supaya dapat membuktikan pentaksiran dan penilaian yang dijalankan adalah sahih serta tepat.

Oleh itu, seorang guru perlulah memahami prinsip-prinsip pentaksiran dan penilaian dengan jelas dan mendalam supaya pentaksiran dan penilaian yang dibuat tepat, sahih dan autentik dengan instrumen yang digunakan.






No comments:

Post a Comment