Saturday, October 1, 2011

OBJEKTIF PENTAKSIRAN DAN PENILAIAN PRASEKOLAH

Objektif pentaksiran dan penilaian secara umum yang terdapat di laman web http://ceep.crc.uiuc.edu/eecearchive/digests/1997/katz97.html menyatakan pentaksiran dan penilaian di prasekolah bertujuan untuk menentukan kemajuan dalam pencapaian perkembangan yang utama, membuat keputusan penempatan, membuat diagnosis masalah pengajaran dan pembelajaran, membantu dalam membuat keputusan berkaitan pengajaran dan kurikulum, menjadi asas dalam membuat laporan kepada ibu bapa dan menolong kanak-kanak tertentu dalam menilai kemajuan dirinya sendiri (Katz, 1997).

Bruce dan Meggitt (2005) pula menyifatkan kurikulum kanak-kanak ialah sesuatu yang dapat membantu kanak-kanak membesar dan belajar yang mana menjadi satu tanggungjawab kepada pendidik untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang dapat menyokong, merangsang dan membantu menggarap potensi yang ada pada seseorang kanak-kanak dan ianya bersesuaian dengan keperluan dan keupayaan kanak-kanak melakukan atau mempelajarinya (Department for Education and Science, 1990).

Berdasarkan Huraian Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (2008), objektif penaksiran dan penilaian dijelaskan secara khusus iaitu  guru dapat mengesan perkembangan seseorang murid itu serta mengenal pasti pelbagai potensi murid secara menyeluruh.  Ianya juga dapat digunakan untuk mengenal pasti kelebihan dan kekurangan murid dalam pembelajaran dari masa ke semasa.  Guru juga dapat mengesan keberkesanan sesuatu pengajarannya melalui proses penaksiran dan penilaian.  Selain itu, guru juga dapat menggunakan penaksiran dan penilaian sebagai medium untuk merangsang aktiviti mengikut keperluan dan pertumbuhan murid serta mengesan pertumbuhan murid bersesuaian dengan peringkat umur mereka.

Menurut Lihanna Borhan, dari tujuan pentaksiran dan penilaian berdasarkan garis panduan Amalan Bersesuaian Perkembangan dalam pendidikan awal kanak-kanak, dapatlah disimpulkan bahawa penggunaan penilaian berbentuk ujian atau peperiksaan bertulis bukanlah satu kaedah yang sesuai di tahap ini. Sebaliknya, guru prasekolah seharusnya mengubah perhatian mereka ke arah penggunaan sistem penilaian yang lebih autentik.





No comments:

Post a Comment