Wednesday, December 22, 2010

KONSEP MATEMATIK DI PERINGKAT PRASEKOLAH

KONSEP MATEMATIK


Matematik didefinisikan sebagai pembelajaran / kajian mengenai corak struktur, perubahan dan ruang, atau dengan kata lain, kajian mengenai nombor dan gambar rajah (atas talian: http://ms.wikipedia.org/wiki/Matematik).


Menurut Nor’aini binti Tahir dalam bukunya, ‘Pembelajaran Kognitif dan Pembelajaran Kanak-kanak’, matematik ialah satu bidang ilmu yang melatih minda supaya berfikir secara mantik dan bersistem dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Sifat matematik secara tabiinya menggalakkan pembelajaran
yang bermakna dan mencabar pemikiran.


Berdasarkan NAEYC pula, matematik bermula dengan penerokaan bahan seperti membuat binaan blok-blok, pasir dan air. Pembelajaran matematik disepadukan dengan sains, sains sosial, kesihatan dan bidang-bidang lain. Selain itu, program matematik seharusnya membolehkan kanak-kanak menggunakan matematik sebagai alat untuk meneroka, mencari penemuan baru (‘discovery’) dan menyelesaikan
masalah.


Kebolehan matematik adalah asas kemahiran yang diperlukan bagi menjalani kehidupan seharian (Nor Azlan, 1987). Asas perkembangan matematik kanak-kanak bermula daripada pengalaman kanak-kanak berkaitan benda-benda konkrit atau objek yang mengandungi kuantiti dan kualiti objek seperti warna, saiz dan bentuk yang berbeza-beza serta memanipulasi nombor-nombor yang ada di sekeliling mereka.


Menurut Jean Piaget, setiap kanak-kanak normal berupaya memahami matematik dengan baik apabila aktiviti dan kaedah yang diberikan menarik perhatian mereka. Matematik adalah contoh pemikiran logik yang membentuk konsep nombor kanak-kanak yang memerlukan pengalaman, interaksi sosial, masa, bahasa dan
kefahaman berkenaan pemikiran kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment